8 Mac 2016 - 15:01
IS rancang plot culik Najib

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan wujud empat plot rancangan serangan oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) termasuklah mahu menculik Perdana Menteri dari September 2014 hingga Mei 2015.

KUALA LUMPUR 8 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan wujud empat plot rancangan serangan oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) termasuklah mahu menculik Perdana Menteri dari September 2014 hingga Mei 2015.

Ahmad Zahid berkata, hasil risikan pihak berkuasa, sebanyak 13 orang ahli IS telah merancang untuk menculik Datuk Seri Najib Tun Razak serta beberapa pemimpin lain termasuklah diri beliau sendiri dan juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 30 Januari 2015.

Katanya, kumpulan terbabit juga merancang mencuri senjata di sebuah kem di Kedah, selain mahu merompak van syarikat keselamatan yang membawa wang tunai dari Genting Highlands sebagai dana bagi melancarkan jihad di negara ini.

“Pada April 2015 pula, sebanyak 11 ahli kumpulan militan itu merancang meletupkan Putrajaya, selain memusnahkan pusat hiburan, perjudian dan maksiat di ibu kota.

“Selain itu, antara plot lain yang dirancang oleh kumpulan ini ialah untuk menyerang beberapa lokasi di Kedah, antaranya masjid Syiah dan tokong Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) yang mahu mengetahui mengenai kejayaan Polis Diraja Malaysia menggagalkan plot rancangan serangan kumpulan militan IS di negara ini pada sidang Dewan Rakyat hari ini. - utusan online